Thursday, October 7, 2010

Panglima Awang - Bangsa Melayu Pertama Mengelilingi Dunia

Panglima Awang

Profil
Nama sebenar: Tidak diketahui
Gelaran: Panglima Awang, Enrique, Henry The Black, Henrich, Ariberto, Espinosa.
Asal: Melaka (lahir sekitar zaman kejatuhan Melaka)
Bangsa: Melayu
Sumbangan: Manusia pertama mengelilingi dunia dan membuktikan Bumi adalah bulat.






Sumber: Hulubalang Bani Jawi (Nasron Sira Rahim)

Pejuang Melayu buktikan bumi bulat selepas terbabit dalam pelayaran bersama Ferdinand de Magellan dari Barat ke Timur.

“Masyarakat kita terlalu mengagungkan Barat; kita memandang hebat pelayar asing seperti Vasco de Gama, Christopher Columbus dan Ferdinand de Magellan sehingga melupakan sejarah siapa Panglima Awang.”

“Kita lupa Panglima Awang adalah manusia pertama mengelilingi dunia. Beliau adalah bangsa pertama membuktikan Bumi adalah bulat, bukannya Barat,” kata penulis yang juga pakar motivasi, Dr HM Tuah Iskandar mengenai peristiwa besar bangsa Melayu itu yang kini mulai hilang dari lembaran sejarah negara ini.

Suasana hening di pejabatnya di Bandar Manjalara, Kuala Lumpur seolah-olah menggambarkan kesayuan yang terdetik di jiwanya tatkala mengenangkan sejarah Panglima Awang. Ada nada kesal dalam intonasi suaranya ketika menceritakan mengenai pahlawan Melayu itu.

Walaupun Panglima Awang pernah menobatkan martabat bangsa di persada dunia, anak-anak kecil hari ini sudah tidak mengenali jasa mahupun siapa lelaki itu.

Jasa Panglima Awang bukan kecil. Lelaki Melayu itu membuktikan tanggapan bahawa bumi leper adalah salah. Beliau sebaliknya membuktikan bumi itu bulat dan menghubungkan Timur dengan Barat.

“Sejarah besar itu bermula ketika Portugis berjaya menakluk Melaka pada 1511,” sambung Dr Tuah seterusnya memulakan kisah seorang pahlawan Melayu digelar Panglima Awang atau Enrique dalam menyumbang sesuatu kepada peradaban dunia, sebuah sejarah yang jarang diketahui ramai termasuk bangsa Melayu sendiri.

Tewas dalam usahanya menentang Portugis yang cuba menjajah tanah airnya iaitu Melaka, anak muda digelar Panglima Awang dan ratusan lelaki Melaka akhirnya ditawan dan disumbat ke dalam kapal besar milik bangsa Barat itu.

Rakan-rakan lain ramai yang terkorban ketika membela tanah watan, betapa gagah dan meluapnya semangat mengusir penjajah, akhirnya Panglima Awang dan rakan-rakannya tewas dengan kelengkapan senjata senapang dan meriam Portugis.

Dalam kesayuan mengenangkan hilangnya tanah air tercinta akibat dijajah, pemuda Melaka dirantai tangan dan kaki mereka serta dikurung di dalam kapal besar itu. Bagaimanapun Panglima Awang diasingkan kurungannya daripada pemuda Melaka lain.

Kehebatan dan keperkasaannya menyebabkan Wizurai Portugis, Alfonso de Albuquerque menetapkan bahawa Panglima Awang adalah tawanan peribadinya sekali gus hamba kepada dirinya seorang.

Selepas beberapa lama, sauh diangkat dan kapal itu mula belayar membelah lautan meninggalkan bumi Melaka menuju ke benua asing bersama tawanan dan hasil rampasan perang. Kapal itu singgah di Goa dan sebahagian tawanan dijual sebagai hamba di hentian itu. Seterusnya pelayaran diteruskan menuju Lisbon, ibu negara Portugal.

Pelayaran jauh yang memakan masa lama akhirnya merapatkan hubungan antara kapten kapal, Ferdinand de Maggellan dengan Panglima Awang. Betapa lelaki Portugis itu amat tertarik dengan perwatakan pemuda Melaka itu sehingga Panglima Awang diberi keistimewaan dengan dilepaskan dari kurungan manakala rantai di kaki dan tangannya dibuka. Panglima Awang diarah menjadi kuli di atas kapal sepanjang pelayaran dengan syarat pemuda itu tidak memberontak.

Ketika itu jugalah Ferdinand menukarkan nama Melayu Panglima Awang kepada ‘Enrique’, bagi mengelakkan wujudnya diskriminasi kaum dan agama antara masyarakat Portugis dan kelasi kapal lain dengan pemuda Melaka itu.

Setiba di Lisbon, Ferdinand memastikan Panglima Awang terus bersamanya. Persahabatan yang semakin erat menyebabkan kapten itu mengutuskan surat kepada Alfonso memohon lelaki Melayu itu ‘dijual’ kepadanya.

Keizinan diperoleh dan bermulalah hidup Panglima Awang di tanah asing yang jauh berbeza budaya dan bentuk muka bumi berbanding Melaka. Panglima Awang ditugaskan mengusahakan ladang epal di belakang rumah lelaki Portugis itu.

Peribadi mulia dan kegigihan ditunjukkan Panglima Awang semakin membuahkan kepercayaan dan rasa hormat di hati Ferdinand malah turut menarik hati adik lelaki asing itu iaitu Miriam. Hari yang terus berlalu mengeratkan hubungan hati antara dua bangsa itu malah Ferdinand turut merestui hubungan cinta berkenaan.

Sejarah mengelilingi dunia bermula apabila Ferdinand melarikan diri ke Sepanyol bersama Panglima Awang angkara fitnah pihak tertentu yang memusuhinya. Kehebatan, kemahiran dan pengalaman luas selaku pelayar menyebabkan Raja Portugal menghargai Ferdinand tetapi ia turut membenihkan hasad dengki di kalangan musuh yang akhirnya memfitnah kapten kapal itu.

Bagaimanapun, pelarian Ferdinand dan Panglima Awang ke Sepanyol diterima baik ketua negara itu, Raja Charles I, lantaran reputasi Ferdinand selaku pelayar hebat Portugal sememangnya dikenali dan dikagumi orang Sepanyol.

Di Sepanyol, kemahiran dan pengalaman luas Ferdinand selaku pelayar dimanfaatkan apabila Raja Charles I mengarahkan lelaki Portugis itu belayar mencari tanah dan harta kepada Kerajaan Sepanyol.

Beberapa tahun diperuntukkan untuk membuat persediaan sehingga beberapa kapal berjaya dibina untuk ekspedisi itu dengan kapal terbesar dinamakan ‘Victoria’.

Cadangan pelayaran Sepanyol itu akhirnya sampai ke pengetahuan pemimpin tertinggi Kristian seluruh dunia ketika itu iaitu Pope di Rom. Pope mensyaratkan jika Sepanyol ingin belayar, mereka tidak boleh lagi menghala ke Timur kerana ia sudah diperuntukkan kepada Portugis. Sebaliknya Sepanyol perlu belayar ke Barat.

Tindakan itu menimbulkan kekhuatiran di kalangan ramai kelasi kerana pelayaran ke Barat masih belum banyak diterokai. Akibatnya, tanpa kelasi, Ferdinand terpaksa mengambil banduan sebagai anak kapal dengan tawaran kebebasan dan kemewahan jika mereka mengikuti pelayaran itu. Selain Panglima Awang, seorang lagi orang kanan Ferdinand adalah Sebastian del Cano dan pencatat pelayaran, Pigafetta.

Pada 1519, kapal besar itu berangkat meninggalkan pelabuhan Seville menuju ke horizon Barat. Pelayaran itu amat sukar berikutan anak kapal tidak berpengalaman malah ada jatuh sakit dan mati. Ramai memberontak dan meminta berpatah balik.

Bagaimanapun penentangan dan konflik yang tidak kunjung padam sepanjang pelayaran sedikit terlerai apabila pelayaran menemui daratan di Barat, kapal itu sudah menjejaki benua baru di Amerika Selatan, setahun kemudian. Pelayaran itu turut menemui Selat Magallaes yang dinamakan sempena nama Ferdinand.

Tidak puas dengan penemuan dunia baru itu, Ferdinand ingin meneruskan pelayaran ke Barat sehingga konflik kembali tercetus di kalangan kelasi. Tanggapan bahawa bumi adalah leper menyebabkan mereka khuatir pelayaran terus ke Barat menyebabkan mereka terjatuh ke bawah dunia.

Walaupun menerima tentangan, Ferdinand meneruskan perjalanan dengan sokongan Panglima Awang. Pelayaran yang memasuki Lautan Pasifik kali itu semakin mencetuskan pelbagai masalah. Beberapa kapal hilang malah krisis bekalan makanan yang meruncing menyebabkan kelasi terpaksa memburu tikus dan lipas sebagai makanan.

Penderitaan di kelilingi lautan akhirnya berakhir apabila pada pertengahan 1521, tilikan Panglima Awang menerusi teropong terlihat sesuatu seperti pohon kelapa dari kejauhan. Berita itu disampaikan dan disambut gembira anak kapal bahawa penderitaan mereka berakhir. Mereka tiba di Pulau Mazzava, Cebu, Filipina.

Berlabuh di situ, Panglima Awang merasakan telahannya yang pelayaran berterusan mereka ke Barat sudah menemui dunia Timur adalah benar apabila mendapati pertuturan penduduk pulau itu menyamai Bahasa Melayu. Jauh di sudut hati, dirasakan negeri tanah tumpah darahnya iaitu Melaka semakin hampir.

Kepastian Panglima Awang dan Ferdinand mengenai bumi adalah bulat dan pelayaran mereka ke Barat sudah tembus ke Timur disampaikan kepada anak buah dan disambut gembira. Bagaimanapun satu kesilapan dilakukan.

Kegembiraan kelasi menyebabkan mereka melepaskan bedilan meriam kononnya sebagai keraian tetapi tindakan itu menyebabkan pemerintah Cebu, Raja Hamabun menyangka kehadiran kapal asing itu adalah untuk berperang dan mereka memulakan serangan.

Dalam pertempuran itu, Ferdinand dan ramai anak kapal terbunuh malah kapal Sepanyol itu dihancurkan sehingga tinggal sebuah kapal saja iaitu Victoria yang sempat meloloskan diri. Berikutan Panglima Awang berbangsa asing, Sabastian dipilih selaku kapten tetapi dia tidak memiliki semangat dan pengalaman luas menyebabkan tugas mengemudi pelayaran dilakukan mengikut arahan Panglima Awang.

Pandangan Panglima Awang bahawa mereka sudah hampir dengan Melaka ternyata benar apabila melintasi tanah Semenanjung. Tetapi disebabkan khuatir diserang Portugis yang menguasai Melaka lantaran Sepanyol adalah seteru Portugal, kapal itu tidak singgah di tanah kelahiran Panglima Awang.

Tambahan pula mereka sudah ‘melanggar’ perintah Pope dengan memasuki kawasan pelayaran orang Portugis menyebabkan mereka menukarkan bendera Sepanyol kepada bendera Portugis sebagai penyamaran dan meneruskan perjalanan pulang ke Sepanyol.

Pelayaran diteruskan dan berakhir apabila mereka tiba kembali di Sepanyol. Di hadapan Raja Charles I, mereka menghadap mempersembahkan cerita besar pelayaran mereka ke Barat sehingga pulang dari arah Timur.

Bagaimanapun raja itu kecewa kerana bukan bukti besar itu yang dimahukannya, raja itu kepingin harta dan tanah jajahan baru menerusi pelayaran itu.

Memandangkan Panglima Awang berbangsa asing, pengiktirafan sejarah itu diberikan kepada Ferdinand walaupun Panglima Awang adalah orang yang bertanggungjawab menyelesaikan ekspedisi mengelilingi bumi buat julung kalinya selepas Ferdinand gagal dan mati di Cebu.

Pengiktirafan itu turut menenggelamkan nama ‘Melayu’ selaku bangsa pertama yang mengelilingi bumi seterusnya jasa Panglima Awang turut tidak diketahui ramai termasuk bangsa Melayu.

“Mengikut catatan novel sejarah Harun Aminurrashid, Panglima Awang akhirnya kembali semula ke Melaka selepas bertahun berada di tanah asing,” kata Dr Tuah menamatkan kisah perjalanan wira Melayu yang tidak didendang itu.

Fakta Panglima Awang Asal usul Panglima Awang sebelum ditawan Portugis masih kekal misteri malah nama sebenarnya dalam Melayu masih tidak diketahui.

‘Panglima Awang’ hanyalah gelaran diberikan Harun Aminurrasid dalam catatannya mengenai sejarah lelaki itu. Selain ‘Panglima Awang’, tokoh pahlawan Melayu itu turut dikenali sebagai ‘Enrique’, ‘Henry The Black’, ‘Henrich’, ‘Ariberto’, ‘Espinosa’ dan pelbagai lagi mengikut sebutan sesuatu bangsa.

Walaupun nama Panglima Awang tidak tercatat dalam manuskrip sejarah Melayu, namanya tercatat dalam catatan sejarah pelbagai bangsa asing. Antaranya catatan Itali menyebutnya sebagai ‘seorang lelaki dari Melaka’ selain catatan Figafetta mengenai pelayaran itu sekali gus membuktikan kewujudan tokoh itu.

Bagaimanapun ada juga ahli Barat yang cuba menutup sejarah kejayaan bangsa Melayu dengan menafikan kewujudan Panglima Awang.

-----------------------------------------------------------------------------------------------
 Sumber : Dewan Masyarakat, Jan 2010, Prof Madya Dr. Shaiful Bahri Md. Radzi.

Panglima Awang, Henrich atau Enrique lebih dikenali sebagai Magellan Melayu. Beliau ialah manusia pertama yang mengelilingi dunia dan mendahului rakan pelautnya yang lain untuk melengkapkan pusingan 360 darjah dengan mengambil masa selama sembilan tahun (dari 1511 hingga 1521).

Henrich atau Enrique, dikenali dalam sejarah pelayaran dunia sebagai “Enrique of Malacca”. Beliau merupakan hamba kepada tokoh yang dinobatkan sebagai manusia pertama mengelilingi dunia, Ferdinand de Magellan. Hamba yang tidak diketahui nama dan asal-usulnya ini ialah seorang tawanan perang berusia antara 12-15 tahun. Beliau dibeli oleh Magellan di Melaka selepas kejatuhan Empayar Melaka pada 1511.

Menurut catatan sejarah, hamba ini dikristiankan oleh Magellan dan diberikan nama Enrique sebelum belayar ke Portugal mengikuti Magellan yang diperintah pulang ke Lisbon oleh Alfonso de Albuquerque (ketua armada tentera Portugis yang menyerang Melaka). Beliau berada di Lisbon menjelang Jun 1512.

Enrique muncul dalam catatan sejarah apabila terlibat dalam ekspedisi Magellan ke Kepulauan Maluku tajaan kerajaan Sepanyol untuk mencari laluan baru ke timur menerusi pelayaran ke barat merentasi Lautan Atlantik dan Pasifik. Tujuan kerajaan Sepanyol menaja ekspedisi ini adalah untuk menyaingi kejayaan musuh tradisi mereka iaitu Portugis pada era Zaman Penemuan abad ke-16. Kesetiaan Enrique terhadap Magellan dan pengusaan bahasa Sepanyol yang begitu lancar amat dikagumi oleh Barat.

Sebuah laporan sezaman dengan Pigafetta iaitu laporan Maximilian Transsylvania berjudul De Molucis Insulis (1522). Laporan ini menceritakan dakwaan penglibatan Enrique dalam merancang dan memerangkap pelaut Armada Maluku ketika peristiwa “Jamuan Kematian”.

Catatan lain kewujudan Enrique tercatat dalam dokumen sejarah F.H.H. Guillemard (1890) di Lisbon, terutama dalam daftar anak kapal Trinidad dan surat wasiat Magellan. Dalam daftar anak kapal Trinidad yang sebanyak 62 orang, Enrique didaftarkan sebagai jurubahasa dan penterjemah dengan bayaran gaji sebanyak 1500 maravedis [nilai semasa AS$160.50 (RM561.75)].

Surat wasiat yang ditulis Magellan bertarikh 24 Ogos 1519 ketika Armada Maluku berlabuh di muara Sungai Guadalquivir di San Lucar de Barrameda, Sepanyol, merupakan bukti lain kewujudan Enrique. Magellan membuat pengakuan bahawa Enrique ialah hamba tawanannya dari Melaka yang berumur 26 tahun ketika surat itu ditulis.

Magellan juga menuntut pembebasan Enrique daripada belenggu perhambaan sekiranya berlaku kematian semasa pelayaran. Beliau turut menuntut agar hambanya itu dibayar pampasan belanja sara hidup sebanyak 10 ribu maravedis [nilai semasa AS$1070.02 (RM3745.07)].

Enrique juga muncul dalam laporan Martin Fernandez de Navarrete (1837) yang menyatakan;

“Tatkala Magellan berada di India, dalam perkhidmatan Raja Portugis, dia (Magellan) membeli seorang hamba di Melaka, kelahiran Pulau Maluku, demikian menurut sesetengah pengkaji, dan dari Sumatera menurut yang lain; yang dikenali Enrique, dan di Sepanyol dia belajar bahasa Sepanyol secara tekun dan mampu bertutur dengan lancar sekali”.

Credit to : Rizi Ahmad

2 comments:

  1. Pernah dengar pasal Panglima Awang masa time sekolah..cikgu sejarah bagitau..tapi catatan sejarah tentang dia xde di buku2 sejarah..penah juga mencari pasal dia,tapi xjumpe(mugkin mmg bangsa barat xnak kte tahu pasal dia)..thnks for sharing Sebenarnya Bangsa Melayu adalah hebat..jadi kte harus Bangga jadi Bangsa Melayu,buat ape nak agong2kan bangsa barat..

    ReplyDelete
  2. Kite dilahirkan hebat, bangsa yang hebat, keturunan yang hebat dan mempunyai pemikiran yang hebat.. mendalami agama Islam yang hebat.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShoutMix chat widget