Tuesday, September 14, 2010

Tengku Faris dimasyhur

TUANKU Muhammad Faris menerima Watikah Permasyhuran sebagai Sultan Kelantan Ke-29 daripada Nik Aziz pada majlis di Istana Negeri Kubang Kerian, semalam

Pelantikan Sultan Kelantan Ke-29 akhiri kemelut lebih setahun

KOTA BHARU: Kemelut Istana Kelantan berakhir apabila Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra, 41, dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan Ke-29, semalam, menggantikan ayahanda baginda, Tuanku Ismail Petra, yang gering sejak lebih setahun lalu. Pengisytiharan pelantikan baginda disempurnakan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat di Balai Rong Seri Istana Balai Besar di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari, disusuli laungan takbir tiga kali.
 Pelantikan itu dibuat selepas 15 Ahli Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan yang bersidang pada jam 9 pagi, sebulat suara memilih dan mengesahkan Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai raja memerintah dan menaiki takhta Kerajaan Kelantan.

Turut hadir pada majlis perisytiharan itu, Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra; Pengerusi MPN Kelantan yang juga Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Almarhum Sultan Ibrahim serta kira-kira 800 tetamu jemputan.

Selepas majlis itu, Nik Aziz menghadap Tuanku Muhammad Faris Petra di Istana Kubang Kerian, bagi menyerahkan watikah pemasyhuran berkenaan.

Kemelut Istana Kelantan tercetus sejak Tuanku Ismail Petra gering pada Mei 2009.
Sejak itu, banyak kenyataan bercanggah dikeluarkan pelbagai pihak dan kedudukan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja juga cuba digugat.

Malah, kelmarin, Tuanku Ismail Petra dilaporkan memfailkan dua petisyen di mahkamah bagi mencabar pertabalan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru.

Sementara itu, Setiausaha MPN Kelantan yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, menjelaskan pelantikan Tuanku Muhammad Faris Petra dibuat mengikut Perkara 23A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua).

"MPN berpendapat Tuanku Ismail Petra yang gering sejak 14 Mei 2009 hingga kini memerlukan seorang pengganti dipilih dan dilantik menjadi Raja menggantikan baginda."Keputusan ini dibuat dengan persetujuan sebulat suara oleh 15 ahli yang hadir," katanya sambil menjelaskan dua ahli MPN, iaitu Tengku Razaleigh Hamzah dan Tengku Amalin A'Ishah Puteri, tidak hadir pada persidangan semalam.

Mohd Aiseri berkata, Tengku Muhammad Faiz diberi amanah menyampaikan keputusan MPN berhubung pelantikan Tuanku Muhammad Faris sebagai Sultan Kelantan yang baru kepada Tuanku Ismail Petra.

Beliau berkata, Perkara 23A Undang-Undang Tubuh Perlembagaan Kelantan adalah peruntukan pindaan yang diwartakan mulai 22 Julai 2010.

"Pindaan dibuat selepas Majlis Penasihat Raja bersidang pada 18 Julai 2010 menasihatkan Pemangku Raja supaya menitahkan Perkara 3(2) Bahagian Yang Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan dipinda.

“Pindaan itu amat perlu bagi mengatasi kelompongan dalam undang-undang berkaitan kegeringan Tuanku Ismail Petra," katanya yang menyatakan pindaan itu juga tidak memerlukan kelulusan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan. Turut hadir pada sidang media itu Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad.

Sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShoutMix chat widget